Glimpses

10. Masuk Kaabah

Posted in The IDB Years 1997 - 2009 by s.j. aznan on 06/03/2013

kaabahKL 1997 001

Pada tahun 1997 saya telah berpindah ke Jeddah untuk bertugas sebagai Naib-Presiden di Islamic Development Bank (IDB), se buah institusi kewangan pembangunan antarabangsa.  Apa yang  bermula sebagai satu persinggahan telah  menjadi satu pengalaman apabila khidmat saya di situ telah berterusan selama dua belas tahun, sehingga tahun 2009.

Dalam dua belas tahun di Jeddah banyak pengalaman saya perolehi. Sebagai seorang Muslim, bermastautin di kota Jeddah yang hanya satu jam perjalanan kereta ke kota suci Mekah merupakan satu nikmat hidup. Saya dan keluarga berpeluang menziarahi kota suci Mekah ratusan kali,  mengerjakan ibadah umrah berpuluh kali,  dan mengerjakan ibadah haji beberapa kali.

Kota Mekah ialah tempat Masjid al-Haram. Dalam masjid inilah  terdirinya Kaabah yang menjadi qiblat kepada semua orang Islam di dunia. Di sini lah satu-satu tempat di dunia ini di mana kita boleh solat pada bila-bila waktu, dan  kearah utara, selatan, timur atau barat  asalkan kita menghadapi kearah Kaabah.

Solat di Masjid al-Haram dan di hadapan Kaabah lain ganjaran dan perasaannya jika dibandingkan dengan di tempat lain di dunia, walaupun di masjid-masjid yang di bina indah. Ganjaran yang diberi oleh Allah swt untuk solat di situ melebihi solat di tempat lain. Masjid al-Haram ialah satu-satunya masjid yang di buka setiap masa, dan setiap masa ada umat yang solat dan berdoa terhadap Allah swt.

Diwaktu larut malam dan awal pagi, di hadapan Kaabah yang berdiri gagah,  di bawah langit cerah, dan di atas batu marmar yang sejuk, di situ kita kerap melihat umat Islam solat  dan menadah tangan berdoa kehadrat Allah swt. Bagi saya inilah tempat dan ketikanya yang baik untuk bersendirian, merenung akan erti hidup ini, memohon ampun atas dosa-dosa yang lalu, dan bersyukur atas sergala nikmat kehidupan dunia ini. Dan doa saya kerap bermula dengan ungkapan yang sama; …”Ya Allah ya Tuhanku, aku bersyukur atas segala pemberian Mu kepada ku. Segala kesenangan hidupku ini adalah semuanya pemberian dari Mu, dan kepada Mu jualah aku bersyukur untuk segala-galanya…”

Namun demikian, satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila saya selaku Naib Presiden di IDB, Jeddah dijemput oleh Kerajaan Arab Saudi untuk memasuki Kaabah sempena acara membersihkan Kaabah. Saya telah bernasib baik mendapat jemputan seperti ini dua kali dalam tempoh khidmat  saya  di IDB,  kali pertama dalam tahun 1998.

Apa yang ada dalam Kaabah?  Kaabah ialah rumah pertama dibina sebagai tempat untuk manusia menyembah Allah swt.  Kaabah ialah qiblat atau arah di mana manusia di seluruh dunia menghadap apabila menunaikan solat. Bangunan Kaabah sebagai tempat ibadah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dan dalam sejarahnya ia  telah dibina semula beberapa kali. Kini Kaabah merupakan sebuah bangunan batu. Lantainya kini telah dinaikkan ke paras yang tinggi, untuk mengatasi masalah banjir yang boleh melandai kota Mekah.  Dengan itu sesiapa yang memasuki Kaabah perlu menaiki beberapa anak tangga. Ada beberapa tiang dalam Kaabah yang menyokong bumbungnya.  Di penjuru  rukn syam ada tangga untuk naik ke bumbung yang sekarang  di ditutup dengan dinding merupai bilik. Lantai dan dinding  dalam Kaabah dilapisi dengan batu marmar.

Saya merasai keadaan dalam Kaabah tidak panas. Ini  mungkin kerana panas  matahari tidak menembusi dinding Kaabah yang tebal dan kebetulan juga saya berada di situ di waktu pagi selepas subuh. Lantai marmarnya juga sejuk kerana tidak disinari matahari dan mungkin juga kesan aliran air dari telaga zam-zam di bawah tanah di kawasan itu.

Mengikut pesanan orang-orang dahulu sesiapa yang memasukki Kaabah tidak boleh melihat keatas. Saya telah bertanya perkara ini kepada beberapa warga  tempatan di Jeddah tetapi merika tidak dapat mengesahkan pantang larang ini. Bagi saya, oleh sebab perasaan ingin tahu itu terlalu tinggi, saya telah memandang  ke atas sekejap. Bagaimanapun, tidak banyak dapat saya lihat pada masa itu. Ini kerana Kaabah tidak mempunyai tingkap dan tidak ada banyak sinar matahari yang masuk dari pintu. Lampu yang di bawa masuk hanya sekadar mencukupi untuk membantu merika yang masuk untuk bergerak. Oleh itu pemandangan dibahagian atas dalam Kaabah adalah gelap sedikit pada masa itu. Mungkin ada beberapa alat kelengkapan tergantung di tengah Kaabah seperti kata rakan-rakan saya. Tetapi saya tidak dapat menelitinya dengan jelas pada masa itu. Mungkin merika yang lain semasa dalam Kaabah itu dapat melihat dengan lebih jelas.

Apakah tertib apabila memasuki Kaabah?  Dari nasihat yang saya terima kita boleh solat sunat dua rakaat apabila memasuki Kaabah, seperti mana kita lakukan apabila memasuki mana-mana masjid. Bezanya, di dalam Kaabah kita boleh melakukan  solat  sunat ini empat kali, sekali di setiap empat dinding Kaabah menghadapi empat penjuru alam, dari dalam menghadapi ke luar. Saya telah mengerjakan solat sunat ini, dari dalam menghadapi  setiap empat dinding. Inilah satu keistemewaan berada di  dalam Kaabah. Tidak ada tempat lain di dunia ini di mana ini boleh dilakukan.

Selepas solat sunat saya telah berdoa. Saya lihat merika yang bersama saya melakukan perkara yang sama. Kata orang berdoa dalam Kaabah biarlah secara terperinci. Segala hajat perlu di sebut dengan jelas. Nama-nama orang yang didoakan biarlah disebut  dengan kuat dan jelas. Bagi saya segala ini saya lakukan. Dan doa saya seperti biasa bermula dengan ungkapan  kesyukuran…”Ya Allah ya Tuhanku, aku bersyukur atas segala pemberian Mu kepada ku….”

Saya  berada dalam Kaabah lebihkurang dua puluh minit.  Kawasan dalam Kaabah itu tidak besar dan saya jangka hanya boleh memuatkan dengan selesa  lebihkurang dua puluh orang setiap masa.

Saya telah memasukki Kaabah dengan memakai Baju Melayu berwarna biru tua, bersampin dan bersongkok hitam. Apabila keluar dari Kaabah saya dapati pakaian dan badan saya berbau wangi kerana bahagian dalam Kaabah itu diwangikan dengan asap kayu oud (agarwood).

Saya bersyukur kerana telah berpeluang memasukki Kaabah dua kali. Begitu lama masa telah berlalu sejak saya pertama kali memasukki Kaabah pada tahun 1998. Kini, di usia warga emas ini, apabila saya renungkan masa-masa saya merantau di Saudi Arabia dan di tempat lain di dunia, banyak kegembiraan nikmat alam telah saya alami. Tetapi, memasuki Kaabah memberi perasaan gembira yang mengatasi segalanya.

Advertisements

One Response

Subscribe to comments with RSS.

  1. Alina bt. Mustafa said, on 07/03/2013 at 2:16 pm

    Maasya Allah..!..!! Syukur Alhamdulillah.! Suatu pengalaman yang menakjubkan.

    Like


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: